Reviu KTM 390 Adventure 2021: Ini 5 Perkara Yang Anda Perlu Tahu!

Advertisements

Pengedar jenama KTM di Malaysia, Eurotech, telah pun melancarkan KTM 390 Adventure untuk pasaran tempatan.

KTM 390 Adventure merupakan antara motosikal yang paling dinantikan tatkala menawarkan ciri berspesifikasi tinggi namun dengan enjin 390cc.

Selepas diberi peluang merasai sendiri 390 Adventure ini di Genting Highlands, kami senaraikan 5 perkara yang anda perlu tahu mengenai motosikal ‘adventure touring’ dari jenama Austria ini (tapi dibina di Pune, India).

  1. Reka Bentuk

Sekali pandang, KTM 390 Adventure sememangnya tampil dengan ciri yang mencerminkan sebuah motosikal ADV, terutamanya dengan penggunaan fork WP APEX 43mm (seperti yang terdapat pada 790 Adventure) yang menawarkan ‘suspension travel’ sekitar 173mm. Fork dari WP itu juga boleh diselaraskan (compression dan rebound) dengan mudah di bahagian kiri dan kanan fork.

Kerangka dan subframe jenis steel trellis turut menghadirkan kestabilan yang baik di samping mengurangkan berat keseluruhan motosikal yang berada pada 171 kilogram.

KTM turut memfokuskan bahagian tempat duduk yang manawarkan ciri motosikal enduro dengan bentuk yang kurus dan mudah untuk kedua-dua kaki mencengkam bahagian sisi.

Bahagian tempat letak kaki jenis bergigi (toothed foot peg) juga cukup lebar dan berfungsi dengan baik namun bentuk yang agak sedikit condong ke depan boleh menyebabkan penunggang seakan hendak tercampak ke depan ketika melanggar bongkah batu atau permukaan tak rata semasa ‘off-road’.

Foot peg tinggi itu juga menyukarkan kaki kiri dan kanan untuk mengepit tangki sewaktu berdiri namun jika anda hanya mahu menghabiskan hujung minggu ke Lemang To’ki tiada apa yang perlu dirisaukan.

  1. Spesifikasi

KTM 390 Adventure bernadikan enjin 373cc DOHC yang menjana 44hp pada 9,000rpm dan 38Nm pada 7,000rpm dan dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan yang dibantu dengan PASC (power assist-slipper clutch).

Ini merupakan enjin sama yang terdapat pada 390 Duke namun telah ditala semula mengikut kesesuaian.

Unit ini menawarkan kuasa yang boleh dilayan sewaktu di jalan raya namun paling membantu sewaktu di ‘off-road’ dengan kawalan throttle (ride-by-wire) memudahkan penunggang menyelusuri permukaan tak rata dan lumpur.

Sistem membrek pula dikendalikan Anti-lock Braking System (ABS) dwi-saluran dengan kaliper jenis radial dari Bybre yang dipadan dengan cakera brek 320mm depan, 230mm belakang.

Menariknya, KTM 390 Adventure ini juga lengkap dengan traction control (MTC) yang boleh ditutup serta Cornering ABS dan Off-Road ABS dengan masing-masing membantu sewaktu tunggangan di jalan raya mahupun off-road.

Bukan itu sahaja, skrin TFT berwarna 5″ ini juga boleh dihubungkan ke telefon pintar menerusi aplikasi MY RIDE yang menawarkan pelbagai lagi ciri pintar antaranya sistem navigasi.

Bagi pasaran Malaysia, KTM 390 Adventure juga akan didatangkan dengan tayar Metzeler Tourance (100/90-19 depan dan 130/80-17 belakang) sebagai standard dengan rim aloi namun pelanggan boleh mendapatkan rim spoke yang ditawarkan secara ‘optional’ dari KTM Powerparts.

  1. Dimensi dan kapasiti

KTM 390 Adventure ini menawarkan panjang 2,154mm dengan lebar 900mm serta ketinggian sekitar 1400mm dan ground clearance pada 200mm.

Ketinggian tempat duduk pula berada pada 855mm dan ketinggian itu mungkin dirasai bagi mereka yang bawah 170cm terutamanya sewaktu mahu menaikkan tongkat dengan sebelah kaki sukar untuk mencapai permukaan.

KTM 390 Adventure ini dilengkapi tangki berkapasiti 14.5L dan sememangnya menawarkan penjimatan terbaik dengan KTM mendakwa motosikal ini mampu pergi sejauh 400km dengan tangki penuh.

  1. Harga

Menurut KTM Malaysia, KTM 390 Adventure ini ditawarkan pada harga RM30,800 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans) dan boleh didapati di pengedar KTM seluruh negara.

Pembelian jentera ini juga didatangkan dengan waranti 2 tahun serta perbatuan tanpa had serta dua pilihan warna, putih dan jingga.

  1. Rumusan

KTM 390 Adventure ini sememangnya jentera yang mengagumkan meskipun bernadikan enjin 373cc namun perasaan menunggang seakan berkongsi aura sama seperti 790 Adventure.

Apatah lagi lengkap dengan pelbagai ciri terkini, model ini ternyata mampu memberi persaingan terhadap motosikal touring yang lebih besar antaranya Honda CB500X.

Harga RM30,800 juga satu angka yang menarik perhatian tatkala sangkaan awal meletakkan 390 Adventure di antara RM33,000 hingga RM38,000.